Jambatan SHOAS Akan Ditutup Sepenuhnya Untuk Sementara Waktu

1 minit

Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien atau lebih dikenali sebagai Jambatan Temburong akan ditutup sepenuhnya bermula jam 7 malam, 21 November 2026 hingga jam 10 pagi, 22 November 2026.

Penutupan bertujuan sebagai langkah keselamatan dan kelancaran acara The Brunei Half Marathon 2026 yang dijangka akan disertai oleh 2,500 orang peserta dari dalam dan luar negara.

Penutupan jalan juga akan dilaksanakan di Jalan Kota Batu iaitu diantara Masjid Kampung Sungai Besar dan Masjid Kampung Serdang serta pusing keliling Temburong menghala ke Jambatan SHOAS.

Sepanjang tempoh penutupan, hanya kenderaan yang dikhaskan atau diberi kebenaran sahaja boleh melintasi jalan seperti kenderaan kecemasan, kes-kes kecemasan dan kenderaan-kenderaan yang diberikan kebenaran khas termasuk penduduk setempat.

Akses jalan dan jambatan akan dibuka semula selepas jam 10 pagi pada 22 November melalui aliran kontra. Manakala laluan jambatan menuju Brunei-Muara dijangka akan dibuka pada jam 1 petang, 22 November.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk merancang perjalanan, dan menggunakan laluan alternatif jika perlu.