
Organisme Pyrodinium bahamense yang menjadi punca air merah dikesan di perairan Brunei dan pada masa ini merebak di sekitar perairan dan pesisiran pantai di Daerah Brunei-Muara, Tutong dan Belait.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak memakan ikan-ikan kecil seperti aur-aur, tamban, basong-basong, pusu dan kuasi, serta bubuk dan semua jenis kerang-kerangan. Ini termasuk larangan memakan ikan-ikan yang ditemui mati di kawasan terjejas.
Para peniaga adalah dilarang untuk menjual ikan-ikan dan hidupan laut seperti yang disenaraikan di atas. Para nelayan juga dinasihatkan untuk tidak melaksanakan aktiviti perairan di kawasan terjejas.
Memakan sebarang hidupan laut yang terjejas oleh air kemerah-merahan akan menyebabkan keracunan toksin yang membawa kepada cirit-birit, muntah-muntah, kebas dan kelumpuhan otot. Lebih serius lagi, ianya boleh membawa kepada kematian.
Sebarang laporan atau pertanyaan, boleh menghubungi melalui saluran talian 277 0068 pada waktu bekerja, talian hotline 898 4526, atau e-mel ke enquiry@fisheries.gov.bn.
